SKIM RONDAAN SUKARELAWAN (SRS)

PENGENALAN 

Skim Rondaan Sukarela adalah satu skim yang dipohon oleh sekumpulan pemastautin dalam Kawasan Rukun Tetangga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 orang dan berumur 18 tahun ke atas. 

Skim Rondaan Sukarela telah dilancarkan secara rasminya pada 21 Februari 2004 di Pulau Pinang. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 April 2004 telah memutuskan untuk memperluaskan SRS di seluruh negara. 

Tujuan utama penubuhan Skim Rondaan Sukarela adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat. Permohonan untuk mengendalikan Skim Rondaan Sukarela di keseluruhan atau sebahagian kawasan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Sektor Pendaftaran. 

Peranan Kawasan Rukun Tetangga dalam menjaga keselamatan telah di perkasakan apabila Skim Rondaan Sukarela (SRS) diiktiraf dan di promosi sebagai salah satu pelaksana utama dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Iaitu untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah di bawah GTP dan bekerjasama dengan PDRM dan RELA serta pihak berkuasa tempatan.

TUGAS ANGGOTA SKIM RONDAAN SUKARELA (SEKSYEN 18 AKTA RUKUN TETANGGA 2012) 

1) Tugas meronda di dalam Kawasan sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga 

2) Tugas mengawal di Pusat Kawasan pada apa-apa waktu sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah 

3) Tugas mengawal di mana- mana premis, tempat atau lokasi di dalam Kawasan sebagaimana yang dikehendaki oleh Pengarah


S: Apakah itu Skim Rondaan Sukarela (SRS)? 

J: Skim Rondaan Sukarela (SRS) adalah suatu rancangan / skim yang dikendalikan oleh pemastautin sukarela yang mendiami Kawasan-Kawasan Rukun Tetangga demi menjaga keselamatan kawasan kejiranan mereka melalui aktiviti kawalan dan rondaan. Terdapat permintaan oleh sekurang-kurangnya 20 orang penduduk yang tinggal di dalam Kawasan Rukun Tetangga. Berumur 18 tahun ke atas. Warganegara Malaysia. Bukan warganegara boleh terlibat di dalam Skim Rondaan Sukarela (SRS) dengan syarat hendaklah memiliki dokumen perjalanan yang sah. 

S: Bagaimana saya ingin menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di kawasan tempat tinggal saya? 

J: Skim Rondaan Sukarela (SRS) boleh dipohon oleh sekurang-kurangnya 20 orang pemastautin sukarela berumur 18 tahun ke atas dan mendiami di dalam Kawasan Rukun Tetangga dengan melengkapkan Bahagian A Borang Enam yang boleh diperolehi daripada Pejabat Perpaduan Daerah / Bahagian di seluruh negara. Borang permohonan yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga untuk ditandatangani dan Pengerusi Jawatankuasa Rukun Tetangga seterusnya akan menghantar permohonan kepada Pegawai Perpaduan Daerah / Bahagian untuk semakan sebelum dimajukan kepada Pengarah Perpaduan Negeri untuk sokongan dan akhirnya kelulusan oleh Ketua Pengarah Rukun Tetangga. 

S: Adakah peralatan rondaan disediakan kepada peronda-peronda semasa menjalankan tugas rondaan? 

J: Peronda-peronda yang bertugas menjalankan tugas rondaan akan dibekalkan dengan baju vest, topi, lampu picit, wisel, baton light, peti pertolongan cemas, rotan dan baju hujan. Peralatan di atas hendaklah disimpan oleh Jawatankuasa Skim. 

S: Apakah kuasa yang ada kepada peronda-peronda semasa mereka menjalankan tugas rondaan? 

J: Menurut Peraturan 27I [peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga)1975(Pindaan)1988] menjelaskan bahawa anggota peronda semasa menjalankan tugas rondaan di dalam kawasan yang dibenarkan meronda disifatkan sebagai pegawai polis berpangkat konstabel dengan syarat semasa menjalankan tugas rondaan tertakluk kepada arahan dan kawalan Pengarah, Jawatankuasa Skim dan Ahli Jawatankuasa Skim. 

S: Adakah anggota peronda diberi kuasa melakukan tangkapan? 

J: Peronda yang menjalankan tugas rondaan dibenarkan melakukan tangkapan (citizen arrest) sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 27 Kanun Prosedur Jenayah iaitu menangkap mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh tangkap dan tidak boleh dijamin, yang berlaku pada pandangannya (depan mata) dan menyerahkan orang yang ditangkap kepada pegawai polis yang hampir sekali atau menghantar orang yang ditangkap ke balai polis yang berhampiran sekali. 

S: Apakah bentuk perlindungan yang diberi kepada anggota-anggota peronda jika berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kemalangan atau kecederaan? 

J: Semua anggota peronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) di beri perlindungan insuran kemalangan diri berkelompok dengan faedah-faedah berikut : 

- Kematian akibat kemalangan (semasa bertugas) = RM 40,000.00 

- Kematian akibat kemalangan (di luar waktu bertugas) = RM20,000.00 

- Kecacatan kekal (semasa bertugas) = RM 20,000.00 

- Kecacatan tidak kekal semasa bertugas ( maksima 60 hari setahun) = RM50.00 sehari 

- Elaun Tunai Harian akibat kemalangan semasa bertugas (maksimum 30 hari) = RM50.00 sehari 

- Perbelanjaan perubatan (semasa bertugas) = sehingga RM1,500.00 

- Khairat Kematian (semua sebab) = RM 1,500.00 

No comments:

Post a Comment